Sunday, October 19, 2014

"Sampai hati saya buat Allah begini.."

Minggu lepas saya telah menghadiri satu kursus anjuran MAIS. Segala puji bagi Allah. Ramainya orang-orang yang hebat hadir sekali ke kursus tersebut. Jika dibandingkan kerja yang mereka telah buat berbanding dengan kerja yang saya dah buat untuk tujuan dakwah , mereka superb lebih hebat daripada saya umpama kereta sorong dan lori enam tayar.

Salah seorang daripada peserta kursus tersebut adalah saudari Huda. Dahulu seorang mualaf kini seorang mukallaf ( beliau telah memeluk islam beberapa tahun lepas). Semasa slot kes dan cara menanganinya, beliau telah berkongsi berkenaan situasi beliau sendiri semasa baru-baru berjinak dengan Islam sehinggalah saat bagaimana beliau mendapat kekuatan untuk mengisytiharkan pengislaman beliau secara terang-terangan.

Kehidupan seorang mualaf yang tidak mendapat sokongan dan tentangan keluarga bukanlah mudah. Tambahan pula, identiti baru mereka harus disembunyikan sebaik mungkin walaupun dengan sahabat handai kerana ianya boleh membahayakan keselamatan mereka. Perkara ini juga terjadi ke atas saudari Huda.

Sehinggalah satu saat dimana beliau tidak mampu terus menyembunyikan identitinya kerana satu peristiwa yang menyuntik kekuatan beliau supaya mendedahkan perkara sebenar di khalayak. Peristiwa tersebut adalah apabila beliau terpaksa solat di dalam tandas supaya tiada siapa melihatnya solat. Selepas selesai solat, beliau menangis kesedihan yang teramat lalu terdetik di hatinya mengatakan,

"Sampai hati aku buat Allah macamni..."

Merujuk kepada perbuatannya solat di dalam tandas, tempat yang kotor untuk menghadap Allah..

Bila kita baca kisah macamni, kita mungkin tak rasa apa-apa, sebab kita mendapat kebebasan untuk beramal ibadah di mana sahaja. Bayangkan seandainya kita berada di tempatnya, atau fikirkan jika pergi ke negara bukan Islam yang muslim adalah minoriti, barulah kita tahu nikmatnya dapat solat.

"Sampai hati aku buat Allah macamni sedangkan Allah dah bagi segalanya " hanya datang dari keimanan yang benar..ya..keimanan yang benar..akidah yang benar..

Kesimpulannya, ramai orang yang belum merasai nikmat keimanan kepada Allah yang sebenarnya, belum sedar nikmat Islam yang sebenarnya, mungkin ramai orang tahu, tapi pasti ramai yang tak sedar lagi..mungkin saya sendiri pun belum cukup sedar atas nikmat yang Allah dah beri.Semoga hayat yang kita ada akan dipergunakan sebaiknya untuk merasai nikmat kehidupan dalam nikmat keimanan kepada Allah s.w.t.Semoga Allah izinkan.